BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), malam ini berkenan menerima mengadap Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, yang berada di negara ini selama dua hari dari 3 hingga 4 November bagi menghadiri Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura kali ke-11.
Turut berangkat ialah ahli-ahli kerabat diraja. Hadir bersama Tuan Yang Terutama pada majlis mengadap tersebut ialah Menteri Pembangunan Negara, TYT Chee Hong Tat; Menteri Negara Kanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga Manusia, TYT Dr Koh Poh Koon; Menteri Negara, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital dan Kementerian Pendidikan, PYT Jasmin Lau; Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, Goh Hanyan; Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Negara, Dr Syed Harun Alhabsyi; dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, TYT Laurence Bay.
Selepas majlis mengadap, Majlis Santap Malam telah dihoskan oleh Duli Yang Teramat Mulia bagi mengalu-alukan lawatan Tuan Yang Terutama dan delegasi sempena YLP Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura kali ke-11, yang berlangsung di Qashr Al-Meezan.
YLP ke-11 merupakan program pertukaran tahunan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura bagi meningkatkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin serta bagi pemimpin-pemimpin masa depan bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala, serantau dan pembangunan global.
Program tersebut dihoskan secara bergilir-gilir antara kedua-dua buah negara, di mana kali terakhir program ini diadakan ialah pada tahun 2024 di Republik Singapura.


