Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, kelmarin, berkenan berangkat ke majlis santap petang sempena puja usia Duli Yang Teramat Mulia ke-50 tahun yang dihoskan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Berangkat sama pada majlis di Dewan Bankuet, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik serta Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Komandan Polis Wanita. Hadir sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta kerabat diraja dijunjung oleh Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan isteri serta Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin serta isteri.
Turut hadir ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Pada majlis berkenaan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan untuk menandatangani lembaran kenangan keberangkatan dan disusuli dengan sesi bergambar ramai.
Sambutan puja usia turut dimeriahkan dengan majlis memotong kek yang diiringi dengan nyanyian puja usia oleh pasukan koir terdiri daripada pegawai-pegawai PPDB.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Pesuruhjaya Polis.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta kerabat diraja kemudiannya dijunjung ke pentas bankuet bagi majlis santap.