Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Inspektor Jeneral Polis Diraja Brunei bersama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, petang tadi, telah berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang sempena Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia ke-43 Tahun anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei yang berlangsung di Dewan Bankuet, Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Gadong.
Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berserta kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam dan datin, serta Pemangku Sementara Timbalan Pesuruhjaya Polis, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan isteri.
Pada majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berkenan beramah mesra bersama pegawai-pegawai kanan dan isteri masing-masing, diikuti dengan menandatangani lembaran kenangan dan juga sesi bergambar ramai.
Kemudian, Duli Yang Teramat Mulia serta kerabat diraja yang lain dijunjung ke ruang santap bagi acara memotong kek puja usia dengan diiringi nyanyian koir oleh pegawai-pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei.




Reka bentuk yang terdapat pada kek puja usia menunjukkan pangkat empat bintang yang melambangkan pangkat Duli Yang Teramat Mulia selaku Timbalan Inspektor Jeneral Polis Diraja Brunei
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya menerima pesambah ‘Tongkat Kayu Malam 4 Bintang’ yang disembahkan oleh Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy dan kemudian Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berserta kerabat diraja dijunjung untuk bersemayam dan majlis santap dimulakan.
Majlis diakhiri dengan Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia serta kerabat diraja yang lain menerima junjung ziarah daripada para pegawai polis dan isteri masing-masing.
Majlis ini diadakan setiap tahun bermulanya Duli Yang Teramat Mulia dilantik menjadi Timbalan Inspektor Jeneral Polis Diraja Brunei pada 5 Mei 2005.