Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Majlis santap raikan Presiden Singapura

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura berkongsi hubungan erat yang sudah terjalin sejak empat dekad lalu menerusi hubungan diplomatik formal.

    Ia bermula dengan persahabatan rapat pada tahun 60an antara Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

    Sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut meyakini Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam akan meneruskan kisah kejayaan Singapura dalam memimpin masyarakat di negara itu yang berbilang kaum ke arah kecemerlangan dan inovasi pada tahun-tahun akan datang.

    Baginda menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Santap Negara bagi meraikan TYT Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam serta rombongan yang mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke negara ini, pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman, malam ini.

    Berangkat sama ke majlis itu ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja.

    Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN RAFI ROSLI
    Keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja ke Majlis Santap Negara bagi meraikan TYT Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam serta rombongan di Istana Nurul Iman, malam tadi. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Majlis Santap Negara bagi meraikan TYT Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam serta rombongan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat ke Majlis Santap Negara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN RAFI ROSLI

    Terdahulu, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri mengalu-alukan kehadiran TYT Tharman Shanmugaratnam dan isteri, yang pertama kali mengadakan lawatan negara ke Negara Brunei Darussalam sekali gus merakamkan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Presiden Republik Singapura ke-9.

    Baginda Sultan seterusnya bertitah menghargai persahabatan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan mendiang Lee Kuan Yew yang mesra dan telus ketika berdepan cabaran serantau dan banyak persaingan kuasa besar pada masa itu.

    Persahabatan yang berkekalan dan visi bersama bagi kedua-dua negara kecil di Asia Tenggara untuk bekerjasama telah membawa kepada kerjasama kukuh dalam pertukaran mata wang dan hubungan pertahanan cemerlang yang terus dinikmati hari ini.

    “Beta berbesar hati melihat pemimpin generasi muda kita turut memupuk persahabatan istimewa ini. Beta gembira kerana

    Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong baru-baru ini mengetuai delegasi Singapura untuk Program Pemimpin Muda, yang tahun ini menandakan tahun ke-10.

    “Program itu merupakan asas penting untuk memastikan hubungan peribadi yang kukuh dan rapat antara pegawai kami yang akan bertahan hingga ke masa hadapan,” titah Baginda Sultan.

    Baginda turut menekankan bahawa tahun ini Brunei dan Singapura akan meraikan 40 tahun persahabatan diplomatik dan adalah penting bagi kedua-dua negara untuk terus bekerjasama menjaga aspirasi dan kepentingan bersama selain mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dalam makanan, produk perubatan dan tenaga.

    Baginda juga menekankan Brunei akan sentiasa menghargai kerjasama dan sokongan yang diberikan Singapura dalam ASEAN, terutama semasa Brunei berusaha ke arah Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan dalam mempromosikan keamanan dan kemakmuran serantau.

    Sementara itu, TYT Tharman Shanmugaratnam dalam ucapan balasnya antara lain menekankan komitmen bersama untuk mengeratkan hubungan rakyat dengan rakyat dalam kalangan generasi akan datang kedua-dua buah negara disokong dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani semasa Keberangkatan Negara Baginda Sultan ke Singapura pada 2022.

    Salah satunya ialah penubuhan program Biasiswa Pendidikan Belia Brunei Darussalam-Singapura (BS-YES).

    “Setakat ini, Singapura telah mengalu-alukan dua kohort pelajar menengah satu Brunei dan saya gembira kerana Kementerian Pendidikan kita sedang meninjau kemungkinan untuk mengembangkan program ini supaya lebih ramai pelajar boleh mendapat manfaat daripadanya,” jelasnya.

    Satu lagi MoU mengenai kerjasama perkhidmatan awam, tambah beliau, telah membuka jalan kepada lapan orang penjawat awam Brunei untuk berkhidmat selama setahun di pelbagai agensi Singapura pada masa ini.

    “Saya berharap mereka bukan sahaja akan mendapati tugas mereka bermakna, tetapi juga mempunyai kenangan sepanjang hayat tentang masa mereka di Singapura dan persahabatan yang boleh mereka harapkan pada masa hadapan,” tambah Tuan Yang Terutama.

    Menurut Tuan Yang Terutama lagi, kerjasama dua hala semakin diperluaskan ke kawasan baharu dan sedang berkembang, yang mana dalam perbincangan antara Baginda Sultan dan Tuan Yang Terutama pagi tadi, mereka menggalakkan kedua-dua pihak untuk mempercepatkan usaha meneroka projek inovatif dan saling menguntungkan seperti dalam ekonomi hijau.

    “Ini termasuk tenaga boleh diperbaharui, di mana Brunei mempunyai potensi untuk membangun dalam skala yang besar, jauh melebihi keperluan domestiknya sendiri, yang boleh disepadukan dalam grid tenaga ASEAN.

    “Terdapat juga skop untuk meneroka sama ada kita boleh mengumpulkan pelepasan untuk industri penangkapan dan penyimpanan karbon yang berdaya maju di Brunei, yang mungkin berada di barisan hadapan dalam usaha tersebut di Asia,” tambahnya lagi.

    Majlis Santap Negara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Juga hadir semasa majlis tersebut ialah rombongan Republik Singapura.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...