Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis santap raikan tetamu negara

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, malam ini berkenan berangkat ke Majlis Persantapan Negara bagi meraikan Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr dan isteri, Louise Araneta-Marcos serta rombongan yang mengadakan lawatan negara selama dua hari ke negara ini.

    Berangkat sama ke majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman itu ialah kerabat diraja. Juga hadir ialah rombongan Republik Filipina.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah di mana Baginda menekankan bahawa lawatan Tuan Yang Terutama merupakan bukti persahabatan yang kukuh dan rapat sejak hubungan diplomatik kedua-dua buah negara terjalin 40 tahun yang lalu.

    Baginda turut mengimbas lawatan pertama Tuan Yang Terutama pada 1984 ketika menemani bapanya, Presiden Filipina pada masa itu, mendiang Ferdinand Marcos Sr semasa sambutan Hari Kebangsaan pertama Brunei.

    Titah Baginda, hubungan berkekalan yang dinikmati kedua-dua buah negara di semua peringkat hari ini, benar-benar mencerminkan sejarah dan pencapaian yang dikongsi bersama, dimulakan dan dikembangkan semasa mendiang Marcos Sr memegang jawatan.

    ATAS & BAWAH : Keberangkatan Baginda Sultan, Baginda Raja Isteri, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah bersama TYT Ferdinand R. Marcos Jr dan isteri, Louise Araneta-Marcos ke majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Majlis Persantapan Negara bagi meraikan TYT Ferdinand R. Marcos Jr dan isteri, Louise Araneta-Marcos serta rombongan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul Adawiyyah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat sama ke majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan berangkat pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Sejak itu, negara kita telah bekerjasama rapat dalam pendidikan, kesihatan dan pertukaran rakyat dengan rakyat.

    “Negara Brunei Darussalam komited untuk mengukuhkan lagi hubungan penting ini untuk melindungi dan menjaga aspirasi bersama kita,” titah Baginda.

    Oleh itu, Baginda berbesar hati kerana dokumen-dokumen yang ditandatangani semasa lawatan Tuan Yang Terutama akan terus menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan berterusan kedua-dua buah negara.

    Perjanjian-perjanjian berkenaan, tekan Baginda, membuka jalan kepada kerjasama dalam sektor maritim, pertanian dan pelancongan, yang akan membawa manfaat yang besar untuk kedua-dua negara.

    Di akhir titah, Baginda menyampaikan ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama, kerajaan dan rakyat Filipina sempena Hari Kemerdekaan ke-126 republik itu pada 12 Jun nanti.

    TYT Ferdinand R. Marcos Jr turut menyampaikan ucapan.

    Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda