Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Majlis penutup Bilik Rambut Mulia Rasulullah SAW telah diadakan petang tadi di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), menandakan berakhirnya pembukaan bilik berkenaan yang berlangsung sepanjang bulan Rabiulawal 1447 Hijrah bermula 25 Ogos hingga 22 September.
Hadir selaku jemputan khas ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Ahli Lembaga Penasihat BKISHHB.
Kehadiran para jemputan khas dialu-alukan oleh Pengarah BKISHHB, Dr Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Selawat Badriyyah dan Selawat Ibrahimiyyah, kemudian diikuti dengan bacaan Dikir Syarafil Anam secara beramai-ramai dipimpin oleh pegawai dan kakitangan BKISHHB. Majlis disudahi dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Pegawai Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SKiPPA), BKISHHB, Awang Muhammad Nazrul Helmi bin Muhammad Said Nazmi.
Sepanjang tempoh sebulan pembukaan, lebih 3,706 pengunjung direkodkan hadir untuk menyaksikan sendiri Rambut Mulia Rasulullah SAW di Galeri 3 serta mengambil peluang untuk berselawat di dekatnya.
BKISHHB juga giat menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan Rabiulawal termasuk empat sesi berselawat setiap hari bekerja bersama kumpulan zikir dari kementerian, jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi, masjid serta syarikat swasta.
Tempahan secara dalam talian mencatatkan penyertaan seramai 744 peserta dengan pelbagai jenis dikir dan selawat termasuk Selawat Munjiyat, Selawat Fatih, Selawat Syifa, Selawat Nur, Maulid Diba’ie dan lain-lain.
Bilik Rambut Mulia Rasulullah SAW akan kembali dibukakan pada tahun hadapan selama tiga hari pada bulan Januari 2026 sempena memperingati peristiwa Israk dan Mikraj.



