Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Bacaan selawat bergema hari ini di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) bersempena Majlis Berselawat bagi menandakan pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah SAW sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Hadir selaku jemputan khas ke majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB.
Turut hadir Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; dan Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB.
Kehadiran para jemputan khas dialu-alukan oleh Pengarah BKISHHB, Dr Haji Awang Mohammed Hussain.
Majlis dimulakan dengan bacaan Dikir Syarafil Anam beramai-ramai yang dipimpin oleh pegawai-pegawai dan kakitangan BKISHHB, diikuti dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Muhammad Nazrul Helmi bin Muhammad Said Nazmi, Pegawai Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SKiPPA) BKISHHB.
Majlis berkenaan turut diadakan bagi menyemarakkan lagi suasana di BKISHHB khususnya di dalam Bilik Rambut Mulia Rasulullah SAW yang dibuka kepada orang ramai selama sebulan bermula hari ini, 1 Rabiulawal 1447 bersamaan 25 Ogos, sehingga 29 Rabiulawal 1447 bersamaan 22 September.
Antara koleksi yang amat berharga dan tidak ternilai di galeri berkenaan ialah artifak Rambut Mulia Rasulullah SAW Orang ramai yang dialu-alukan untuk orang ramai mengambil kesempatan bertabarruk dengan cara memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Rasul SAW.
Tabarruk bermaksud mengharapkan keberkatan dan kebaikan daripada Allah SWT yang ditetapkan terhadap sesuatu yang dimuliakan dalam pandangan-Nya. Sebagaimana disebutkan dalam hadith sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah SAW pernah membahagikan rambut Baginda SAW kepada para sahabat supaya mereka bertabarruk dan mengambil berkat daripadanya.


