Oleh Sahama
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Majlis Setia Ali Pekan Muara telah menerima wakaf berupa sejadah untuk imam dan barang kecil-kecilan daripada dua orang pewakaf.
Sehubungan itu, sebagai penghargaan, Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali, Pekan Muara
telah mengadakan majlis penghargaan untuk kedua-dua pewakaf berkenaan iaitu Haji Tamin bin Haji Omar dan Awang Januddin bin Haji Baha yang diadakan pada masjid berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penghulu Mukim Serasa, Mejar (B) Haji Johari bin Haji Abdul Razak yang juga berkesudian menyampaikan sijil penghargaan kepada pewakaf.

Majlis turut disaksikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Setia Ali, Awang Nasehin bin Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali, Pekan Muara, Haji Mohammad bin Haji Mohd Yasin, Penolong Pengerusi AJK Takmir Masjid, Awang Rosli bin Haji Ladis, imam masjid berkenaan, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan para jemaah masjid berkenaan.
Haji Tamin telah mewakafkan satu sejadah buatan asli dari Madinah Al-Munawarah iaitu replika sejadah Raudah Masjid Nabawi untuk imam, sementara Awang Januddin pula mewakafkan barang kecil-kecilan untuk menampung kekurangan sama ada berbentuk kewangan mahupun material untuk kegunaan masjid berkenaan.