Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis silaturahim lakar kenangan indah

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Lebih 250 orang bekas penuntut Tingkatan 4 Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) Tahun 1975 bersama mantan guru telah berhimpun pada Majlis Silaturahim sempena Jubli Emas Penuntut Tingkatan 4 Maktab SOAS Tahun 1975 bertempat di Dewan Serambi Batil, Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

    Pengerusi bersama majlis, Pengiran Dato Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail dalam ucapan antaranya melahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada mantan-mantan guru Maktab SOAS yang telah mendidik dengan penuh dedikasi serta segala pengorbanan mereka selama ini khususnya dalam membentuk keperibadian anak-anak didik mereka.

    Sementara itu, Dato Paduka Haji Alimin bin Haji Abdul Wahab selaku mantan pengetua Maktab SOAS pada tahun 1975 turut menyampaikan ucapan dengan menyentuh pengalamannya menjadi pengetua di maktab berkenaan yang merupakan satu cabaran besar membimbing penuntut-penuntut menjadi aset negara.

    Dalam kesempatan itu, beliau juga menasihatkan bekas penuntut-penuntut untuk terus memainkan peranan masing-masing dengan memikul cabaran perkembangan ahli keluarga terutamanya anak cucu mereka dalam bidang akademik dan keagamaan dengan sebaik-baiknya di samping mengingatkan matlamat kehidupan sebenar dan sentiasa memperbanyakkan amal ibadat sebagai bekalan di akhirat kelak.

    Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian, deklamasi sajak, nukilan cerita secawan kopi oleh beberapa bekas penuntut maktab.

    Selain itu, majlis juga tidak ketinggalan untuk sama-sama menyemai semangat kemanusiaan sesama Islam menerusi penyediaan kutipan derma bagi tabung bantuan kemanusiaan Gaza.

    Majlis seumpama itu dihasrat menjadi platform untuk menjalin kembali ikatan persahabatan yang telah lama terputus sekali gus melakar kenangan terindah untuk ristaan di masa hadapan sambil berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang membuka minda meniti usia emas.

    Antara bekas penuntut-penuntut Tingkatan 4 Maktab SOAS Tahun 1975 bersama para mantan guru di Majlis Silaturahim Sempena Jubli Emas Penuntut Tingkatan 4 Maktab SOAS Tahun 1975. – GAMBAR SERAHAN BEKAS PENUNTUT MAKTAB SOAS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda