Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Dalam persediaan menghadapi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) esok, Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan mengadakan Majlis Solat Hajat dan bacaan Surah Yasin yang berlangsung di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong pagi tadi.
Majlis berkenaan bertujuan untuk memohon Inayah dan keberkatan dari Allah SWT agar peperiksaan yang dihadapi para pelajar berjalan dengan lancar.
Majlis yang dihadiri oleh para ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Sanah 6 itu dimulakan dengan mendirikan Solat Hajat berjemaah dan diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan Doa.
Majlis seterusnya diisikan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Pegawai Ugama dari Bahagian Penyebaran Dakwah (Ceramah), Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Agama, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Pelajar-pelajar Tahun 6 di seluruh negara akan menghadapi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) yang dijadualkan bermula esok, 10 Oktober.