Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Majlis Pembukaan Tadarus Al-Quran bagi Masjid, Surau, Balai lbadat Seluruh Negara telah diadakan semalam di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji lbrahim; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Prof Madya Dr Haji Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) KHEU, Haji Shamsol bin Haji Omar.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat majlis. Acara diikuti dengan tadabbur Al-Quran disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah lslamiah, Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang. Tadarus Al-Quran dimulakan dari Surah Al-Baqarah oleh peserta-peserta yang mengambil bahagian.
Manakala bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz.
Majlis Pembukaan Tadarus Al-Quran bagi Masjid, Surau, Balai lbadat Seluruh Negara dikendalikan oleh KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong dan Radio Televisyen Brunei.
Sementara itu, pintu-pintu masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara dibukakan setiap malam bagi umat Islam untuk beriktikaf di dalamnya, secara individu atau bersama keluarga bagi menggandakan amal ibadat bagi menyemarakkan bulan Ramadan dengan menyertai pelbagai aktiviti keagamaan yang disediakan sepanjang bulan Ramadan.
Tadarus Al-Quran di masjid-masjid, surau dan balai ibadat merupakan salah satu aktiviti takmir di bulan Ramadan yang mendapat sambutan masyarakat Islam di negara ini tanpa mengira peringkat umur dalam sama-sama memperdengarkan bacaan Al-Quran sekali gus mendekatkan diri dengan Al-Quran dan menyemarakkan bulan yang penuh berkat dengan amal ibadat semata-mata bagi meraih keampunan daripada Allah SWT.