Saturday, February 15, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis tadarus di Istana Nurul Iman berakhir

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Majlis tadarus Al-Quran yang bermula sejak awal Ramadan di Istana Nurul Iman berakhir hari ini dengan majlis khatam Al-Quran.

    Majlis yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman itu dilangsungkan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Matassan bin Haji Tahir.

    Kemudian, majlis disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang didahului oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman diikuti dengan sebahagian pembesar-pembesar negara yang hadir seorang demi seorang mengikut keutamaannya bermula dari Surah Ad-Dhuha.

    Selesai bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, majlis diikuti dengan bacaan takhtim dan tahlil beramai-ramai sehingga selesai, Doa Khatam dan Tahlil dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Matassan.

    Majlis disemarakkan lagi dengan Dikir Syarafil Anam daripada begawan-begawan pehin khatib dan begawan-begawan mudim yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid.

    Bagi memohon keberkatan, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim bin Haji Besar.

    Turut hadir di majlis tersebut itu ialah pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap.

    Majlis tadarus Al-Quran yang bermula sejak awal Ramadan di Istana Nurul Iman telah berakhir dengan majlis khatam Al-Quran. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH : Majlis khatam dilangsungkan di hadapan YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir pada majlis khatam Al-Quran berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda