Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Majlis bertadarus Al-Quran yang bermula sejak awal Ramadan di Istana Nurul Iman berakhir semalam dengan majlis khatam Al-Quran.
Majlis yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman itu dilangsungkan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Kemudian, majlis disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang didahului oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman diikuti dengan sebahagian pembesar negara yang hadir seorang demi seorang mengikut keutamaannya bermula dari Surah Ad-Dhuha sehingga Al-Masad.
Selesai bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, majlis diikuti dengan bacaan taktim dan tahlil beramai-ramai sehingga selesai, Doa Khatam dan tahlil dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid.
Majlis disemarakkan lagi dengan Dikir Syarafil Anam daripada begawan-begawan pehin khatib dan begawan-begawan mudim yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib.
Bagi memohon keberkatan, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.
Turut hadir di majlis tersebut itu ialah pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap.