Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Dalam merebut ganjaran pahala dan keberkatan pada penghujung Ramadan ini, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Penutup Tadarus dan Khatam Al-Quran yang berlangsung di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, hari ini.
Majlis yang dikelolakan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) itu dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di MTIC, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di MTIC, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar; dan Ketua Eksekutif AITI, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta bengkel anjuran Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sepanjang bulan Ramadan tahun ini, yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary.


