Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Sempena bulan suci Ramadan ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya petang tadi telah memulakan majlis bertadarus bagi tahun 1440 Hijrah/2019 Masihi, yang berlangsung di Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak.
Majlis tadarus berkenaan dikelolakan bersama oleh Bahagian Undang-undang dan Kesejahteraan di JPM, Jabatan Adat Istiadat, Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman Negara dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hairolarni bin Haji Abdul Majid dan Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Majlis dimulakan dengan penyampaian beberapa sumbangan wakaf yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti kepada imam masjid tersebut, Awang Zulhazmi bin Mohd Salleh.
Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan tadarus Al-Quran yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri di JPM sebelum turut diselajurkan dengan bacaan Doa Selamat dan solat Fardu Asar berjemaah.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Ugama Islam, pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah; juruaudit agung, setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai serta kakitangan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Seterusnya majlis tadarus Al-Quran bagi JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya akan diteruskan pada 14 Mei di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Madang/Manggis.