Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Jawatankuasa Takmir Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dengan kerjasama pegawai-pegawai masjid Zon 4 Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini telah mengadakan Majlis Tadarus sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76.
Acara tadarus Al-Quran yang berlangsung di surau itu telah disertai oleh 76 orang yang terdiri daripada ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah, belia dan beliawanis masjid.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Antara lain tujuan acara itu adalah bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia supaya sentiasa mesra mendampingi Al-Quran di samping sebagai salah satu program sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76.
Acara berkenaan juga diadakan untuk menjadikan masjid, surau dan balai ibadat sebagai pusat kegiatan ilmu seterusnya dapat menanamkan dan membentuk akhlak yang mulia khususnya dalam kalangan peserta.
