Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73, Majlis Tadabbur Al-Quran telah diadakan di Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal, Jalan Muara, kelmarin.
Majlis anjuran ahli jawatankuasa takmir surau maktab itu telah dihadiri oleh tetamu kehormat, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.
Antara tujuan majlis itu adalah untuk mengimarahkan surau berkenaan dengan kehadiran lebih ramai jemaah seterusnya memenuhi hasrat Baginda Sultan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir. Ia sekali gus mengembangkan syiar Islam melalui aktiviti takmir masjid dan surau di samping membuktikan kasih sayang rakyat kepada raja dengan mendoakan kesejahteraan Baginda.
Terdahulu, acara dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk diikuti dengan Tadabbur Al-Quran yang disampaikan oleh Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk.
