Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Sempena memperingati ulang tahun penubuhannya yang ke-97 tahun, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Hadir pada majlis di Kubah Makam Diraja itu ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam. Juga hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, para pengarah dan timbalan pengarah, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi, pegawai dan ahli pangkat rendah, kakitangan serta kadet PDB.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis, APO Sarjan Mejar 6924 Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Matahir.
Majlis tahlil berkenaan merupakan sebahagian daripada kegiatan yang dijalankan sebelum hari Kemuncak Perbarisan Sambutan Hari Polis ke-97 tahun.
