Wednesday, May 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis tahlil biar sesuai kehendak agama

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Sudah menjadi kebiasaan pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan umat Islam di negara ini akan mengadakan majlis-majlis tahlil dengan mengharapkan pahala yang berlipat ganda dalam bulan tersebut selain bagi memohon rahmat Allah untuk orang yang telah meninggal dunia.

    Pada majlis tersebut, para ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga dijemput untuk hadir bagi membaca Al-Quran, Surah Yasin, berzikir, bertahlil dan sebagainya untuk dihadiahkan pahala kepada orang yang telah kembali ke rahmatullah.

    Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini mengingatkan bahawa tujuan majlis tersebut hendaklah sesuai dengan kehendak agama, janganlah kenduri arwah tersebut dianggap sebagai satu kemestian, lebih-lebih lagi dengan menyediakan pelbagai jenis hidangan makanan sehingga boleh membebankan diri sendiri.

    “Sebenarnya majlis tahlil itu adalah majlis zikir di mana kita ramai-ramai berkumpul untuk membaca tahlil,” jelasnya.

    Menurut khatib, zikir bererti menyebut nama Allah dengan bertahlil la ilaha illallah , bertasbih subhanallah, bertahmid Alhamdulillah, bertakbir Allah Hu Akbar, menyebut hauqalah walahaula wala quwata illa billah, menyebut hasbiallah, membaca basmalah bismillahirrahmanirrahim, membaca Al-Quran dan membaca doa yang ma’tsur atau mustajab iaitu membaca doa-doa yang diterima daripada Rasulullah S.A.W.

    Katanya, oleh kerana pentingnya zikir dalam kehidupan, ulama besar seperti Imam An Nawawi telah mengumpulkan zikir daripada Rasulullah S.A.W dengan menyebutkan penggunaannya berdasarkan tempat, masa dan lain-lain.

    “Semua ini menjelaskan bahawa segala ruang waktu itu adalah perlu diisi dengan zikir dan tanpa zikir hati kita akan terasa kosong dan sangatlah besar kerugiannya.

    “Orang yang telah meninggal dunia itu masih dapat menerima ganjaran pahala dan rahmat daripada amal kebajikan yang dilakukan oleh orang yang masih hidup untuk mereka,” tambah khatib lagi.

    Sehubungan itu, Islam sangat menggalakkan orang yang hidup terutama anak-anak dan keluarga terdekat supaya sentiasa membaca Al-Quran, berdoa, berzikir dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada ahli keluarga dan sanak saudara yang telah meninggal dunia.

    “Ini dengan harapan semoga roh mereka dihindarkan dan diringankan daripada mendapat azab kubur serta mendapat rahmat dan ketenangan.

    “Selain daripada amalan pahala tersebut, sedekah amal jariah juga sesuai diamalkan dan pahala tersebut diniatkan untuk orang yang telah meninggal dunia, Insya Allah dengan demikian mereka yang meninggal dunia akan mendapat pahala daripada amalan tersebut,” jelas khatib.

    Menurut khatib, tiada siapa mengetahui bila ajalnya akan tiba dan sebagai orang Muslim yang beriman, kita hendaklah mempersiapkan diri dengan amal ibadah sebagai bekalan untuk akhirat.

    “Selain jangan melupakan ibu bapa, kaum keluarga serta sanak saudara yang telah kembali ke rahmatullah dengan menghadiahkan bacaan ayat Al-Quran, doa dan sebagainya,” katanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda