Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Kementerian Pertahanan hari ini mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-64 di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Majlis keagamaan itu diadakan khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar, diikuti bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis itu merupakan salah satu aktiviti keagamaan yang dijadualkan sempena sambutan ulang tahun penubuhan ABDB ke-64, yang akan diraikan pada 31 Mei ini.
Turut hadir, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin serta pegawai-pegawai kanan dan kepimpinan Kementerian Pertahanan.