Oleh Salawati Haji Yahya
TUTONG, 4 MAC –Seramai 21 orang bekas penuntut-penuntut Maahad Islam Brunei pengambilan tahun 1988 telah menghadiri Majlis Tahlil Alumni Sekolah Persediaan Arab/Maahad Islam Brunei bagi tahun 1988-1994 yang diadakan di Surau Blok B, Maahad Islam Brunei, Daerah Tutong baru-baru ini.
Antara lain tujuan majlis yang diadakan setiap tahun itu, untuk mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan bekas pelajar serta mendoakan kesejahteraan mantan guru-guru dan rakan-rakan yang telah kembali ke rahmatullah.
Majlis dimulakan dengan solat Asar berjemaah, dan diikuti dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, Penolong Profesor Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Kharhan bin Haji Jait.
Manakala bacaan tahlil serta doa khas bagi arwah guru-guru dan sahabat-sahabat alumni yang telah kembali ke rahmatullah telah dipimpin oleh Haji Zamadi bin Haji Mohammad.
Selain sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang telah pergi, majlis ini turut menjadi wadah untuk para alumni bertemu semula selepas sekian lama berpisah.
Inisiatif ini diharapkan dapat diteruskan sebagai tradisi tahunan bagi menyuburkan semangat kebersamaan dan memperkukuhkan hubungan dengan institusi pendidikan yang telah banyak berjasa dalam membentuk keperibadian dan kecemerlangan mereka.
Majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra serta jamuan ringan yang memberi peluang kepada para alumni untuk mengimbau kembali kenangan lama dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama mereka.
