Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Satu majlis tahlil dan Doa Arwah bagi memperingati purih penduduk Kampung Saba Laut telah diadakan di kediaman Haji Ramlee bin Ahmad, di Kampung Perpindahan Rimba, baru-baru ini.
Majlis berkenaan bertujuan untuk mendoakan kesejahteraan insan-insan yang telah kembali ke rahmatullah serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan purih Kampung Saba Laut.
Acara dimulakan dengan sesi bergambar ramai sebagai tanda kenangan sebelum pengerusi majlis, Haji Ramlee bin Ahmad, menyampaikan ucapan alu-aluan.
Dalam ucapannya, Haji Ramlee menzahirkan penghargaan kepada semua yang hadir dan menekankan kepentingan doa serta amalan tahlil sebagai satu bentuk penghormatan kepada mereka yang telah pergi.
Majlis diteruskan dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Haji Haris bin Haji Sulaiman. Suasana penuh khusyuk menyelubungi majlis ketika para hadirin bersama-sama berdoa, memohon keampunan dan kesejahteraan mereka yang telah kembali ke rahmatullah.
Setelah selesai bacaan tahlil dan doa, majlis diakhiri dengan jamuan bagi para tetamu yang hadir. Majlis tersebut bukan sahaja satu acara keagamaan, tetapi juga mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta semangat perpaduan dalam kalangan penduduk kampung.