Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung kali ke-32 Kampung Putat telah diadakan hari ini di masjid berkenaan dengan diselajurkan penyampaian sumbangan anak yatim dan penyampaian sijil akuan tamat Kelas Al-Quran.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada penerima dan sijil kepada pelajar yang diraikan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Di majlis itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Putat selaku pengerusi bersama majlis, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohammad, dalam ucapan alu-aluan antara lain menjelaskan, majlis tersebut merupakan satu wadah yang penuh keberkatan untuk mengenang dan mendoakan ahli keluarga serta saudara-mara yang telah kembali ke rahmatullah.
Beliau turut mengongsikan sumbangan berjumlah $6,760 telah dikumpulkan, yang mana jumlah tersebut menunjukkan peningkatan, dan untuk kali ini Jawatankuasa Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung telah menambah jumlah penerima sumbangan khas kepada sembilan penerima.
Katanya lagi, “Kutipan ini juga digunakan untuk segala perbelanjaan bagi menyempurnakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung, dan diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim serta keperluan barang asasi mereka.
“Sejak kali pertama majlis seumpama ini dianjurkan pada tahun 1993, Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung telah menjadi tradisi yang amat dihargai oleh penduduk kampung, di mana ia bermula daripada acara kecil di rumah penduduk, dan kemudian berkembang menjadi sebuah perhimpunan tahunan yang semakin mendapat sokongan,” jelasnya.
Beliau seterusnya menambah, nilai gotong-royong yang menjadi tunjang utama majlis ini terus diperkukuhkan, walaupun ia sebahagian persiapan dibuat melalui perkhidmatan katering, namun semangat kebersamaan dan budaya Calak Brunei tetap terpelihara.
Katanya lagi, “Kebersamaan ini juga dapat dilihat melalui kempen membersihkan tanah perkuburan di kampung kita, iaitu Tanah Perkuburan Baong, Paluk, Kupang dan Takuning.
“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan sikap prihatin terhadap mereka yang telah pergi, malah ia juga memperkukuhkan semangat kemasyarakatan dalam kalangan kitani,” jelasnya.
Bacaan Tahlil dan Doa Arwah dipimpin oleh Bilal Masjid Kampung Putat, Awang Afendi bin Haji Taha bersama guru kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid Kampung Putat.
Manakala bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Sh’minan bin Haji Sulaiman.
Terdahulu itu, majlis diserikan dengan ceramah ugama yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah Pusat Pengajian Jawi dan Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Abdul Rahman bin Ajak.