Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Bersempena dengan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-26, lebih daripada 200 orang warga lelaki perkhidmatan telah membaca tahlil di Kubah Makam Diraja, di sini, hari ini.
Majlis Bertahlil tersebut adalah bagi paduka ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Hadir ke majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-26.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman dan diikuti dengan bertahlil.
