Friday, October 4, 2024
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis tahlil sempena penukaran nama BSB

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Sempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei ke Bandar Seri Begawan (BSB) kali ke-54, Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil telah diadakan bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim, petang tadi di Kubah Makam Diraja.

    Majlis anjuran Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam kalangan daerah, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dari keempat-empat daerah.

    Majlis dimulakan dengan membaca Surah Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Imam Tingkat 1, Masjid Sungai Besar, Haji Hanafiah bin Haji Mahmud.

    Majlis tersebut diadakan adalah sebagai mengenang jasa Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dalam memajukan dan memodenkan Negara Brunei Darussalam.

    Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada BSB disambut pada 4 Oktober setiap tahun. Bandar Brunei mula bertukar nama pada 4 Oktober 1970 dengan ditukar menjadi BSB. Pada tahun ini ia disambut untuk kali yang ke-54 tahun.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin hadir semasa majlis keagamaan sempena sambutan memperingati ulang tahun penukaran nama BSB. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda