Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan majlis tahlil sebagai penghormatan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Allahyarham Tuan Yang Terutama Ismail bin Haji Salam.
Majlis yang diadakan buat hari ke-40 itu telah berlangsung di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, di Jalan Kebangsaan
Turut hadir sama pada majlis tahlil yang dimulakan dengan solat fardu Zohor berjemaah tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Salah seorang anak kepada Allahyarham, Haziq mewakili kaum keluarga turut berkesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam membantu melancarkan urusan pengurusan jenazah Allahyarham pada bulan lalu.
Allahyarham telah memulakan perkhidmatan sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 1992 dan dilantik sebagai pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam pada Februari 2019.
Allahyarham TYT Ismail kembali ke rahmatullah pada 18 Disember 2019 dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Matang, Batu 10 di Kuching Sarawak, Malaysia.



