Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya melalui Jabatan Penjara mengadakan Majlis Takreem Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serbaguna, KHEDN, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KHEDN.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Zohor berjemaah diimamkan oleh Guru Agama Terlatih, Jabatan Penjara, Awang Muhd Yusri bin Othman dan diikuti penyampaian derma anak-anak yatim warga KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya iaitu seramai 31 orang yang disempurnakan Yang Berhormat Dato.
Majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim yang dimulakan dengan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Dato.
Majlis diselajurkan dengan bacaan tahlil dan Dikir Syarafil Anam dan diakhiri dengan bacaan Doa Takhtim dan seterusnya Doa Allah Peliharakan Sultan.
Majlis itu bertujuan bagi memperingati peristiwa agung Nuzul Al-Quran iaitu turunnya ayat Al-Quran yang pertama sebagai wahyu Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.
Di samping memohon keberkatan dan mendapatkan ganjaran pahala pada bulan yang mubarak ini, majlis itu juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan kementerian serta menunjukkan sifat keprihatinan terhadap anak-anak yatim.