LIMA pelajar Program Pra-Vokasional dari tiga buah sekolah menengah kerajaan telah menamatkan latihan penempatan kerja mereka di Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd yang terletak di Tapak Perindustrian Kampung Serambangun baru-baru ini. Para pelajar yang terdiri daripada pelajar dari Sekolah Menengah Tanjong Maya, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah dan Sekolah Menengah Muda Hashim, Daerah Tutong itu telah berjaya menamatkan latihan mereka selama tiga bulan.
Hadir semasa majlis penyampaian sijil penyertaan kepada pelajar-pelajar tersebut ialah Pemangku Ketua Bahagian Program dan Akademik, Hajah Rosmah binti Haji Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd, Desmond Lim. Turut hadir Ketua Sumber-sumber Utama dan Pentadbiran Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd, Dayang Siti Khadijah Abdullah @Jaybee, pengetua-pengetua, pegawai-pegawai Jabatan Sekolah-sekolah, pegawai-pegawai Unit Pendidikan Khas, guru-guru kelas dari sekolah masing-masing dan juga pelajar-pelajar yang diraikan.
Pengetua-pengetua sekolah berkenaan dalam ucapan mereka menyatakan bahawa mereka sangat menghargai sokongan daripada Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd dalam menyokong Program Pra-Vokasional melalui peluang yang diberikan kepada pelajar-pelajar program tersebut sepanjang menjalani penempatan kerja mereka.
Semasa pelajar-pelajar tersebut berada di sana, mereka telah menimba pelbagai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman bekerja yang begitu berharga.
Desmond Lim seterusnya memuji dan menyokong usaha Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah sama ada dalam mengadakan lawatan sambil belajar ke syarikat-syarikat tempatan mahupun membantu pihak sekolah mencari peluang penempatan kerja mereka. Beliau berharap kerjasama di antara Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd dan Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah akan terus berkekalan pada masa hadapan.

Dalam majlis tersebut, Desmond Lim telah menyampaikan sijil penyertaan kepada lima orang pelajar berkenaan. Pengetua-pengetua sekolah berkenaan juga telah menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada Desmond Lim.
Program Pra-Vokasional
Program Pra-Vokasional mula dilaksanakan di beberapa buah sekolah menengah dan maktab kerajaan yang terpilih oleh Kementerian Pendidikan sejak tahun 1999. Setakat tahun 2017, sebanyak 28 buah sekolah menengah dan maktab kerajaan telah melaksanakan program ini di keempat-empat daerah.
Program tersebut mengamalkan pendekatan kemahiran hidup dalam membantu dan melatih pelajar dengan kebolehan kognitif yang sederhana supaya mereka boleh berdikari dalam kehidupan seharian.
Program ini melibatkan para pelajar dalam aktiviti praktikal seperti memasak, ‘housekeeping’, pertukangan kayu, berkebun, dan kraf tangan kreatif yang lain untuk membangunkan kemahiran asas vokasional.
Ia merupakan program lima tahun yang mana dalam Tahun 10, para pelajar akan menjalani penempatan kerja selama tiga bulan manakala dalam Tahun 11, para pelajar akan menjalani penempatan kerja selama enam bulan.