Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Pada hari yang istimewa ini, Kumpulan Bank Baiduri mengalu-alukan lebih 1,000 orang tetamu termasuk klien korporat dan pihak-pihak yang berkepentingan dalam Majlis Baiduri Silaturahim yang berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, hari ini, menyatakan bahawa majlis pada tahun ini adalah amat bermakna di mana ia menandakan ulang tahun Bank Baiduri ke-30, meraikan tiga dekad kepimpinan kewangan dan penglibatan komuniti di Negara Brunei Darussalam.
Majlis itu menyediakan sebuah platform cemerlang bagi Kumpulan Bank Baiduri untuk menunjukkan penghargaannya kepada klien dan rakan-rakan kongsinya atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka.
Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan lagi hubungan dalam rangkaian pihak berkepentingan industri yang meluas.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui merakamkan penghargaannya dengan menyatakan bahawa menghoskan majlis hari raya semasa ulang tahun ke-30 mereka, menambah satu lapisan lagi kepada kemeriahan serta rasa penghargaan.

Ia membolehkan kita untuk bukan sahaja menghargai saat-saat ini bersama-sama, jelasnya, tetapi juga untuk mengimbas perjalanan pertumbuhan dan komitmen kita kepada kecemerlangan.
Beliau berkata bahawa kerjasama mereka dengan klien dan masyarakat merupakan kunci kepada pencapaian berkenaan.
Menambah elemen yang unik kepada sambutan pada tahun ini, menyaksikan majlis turut mengetengahkan pameran yang menawarkan perjalanan visual melalui sejarah Bank Baiduri daripada penubuhannya pada 1994 kepada statusnya pada masa ini dalam zaman digital.
Galeri dengan tema Building Futures, Nurturing Dreams itu mengetengahkan peristiwa penting, kerja-kerja kemasyarakatan dan perkembangan digital Bank Baiduri ke arah pengalaman perbankan siaga masa depan, menggabungkan pencapaian lampau dengan sebuah visi bagi masa hadapan.
Para tetamu juga berpeluang menikmati pameran perkembangan dan kerjasama bank berkenaan yang diserikan oleh suasana serta hidangan juadah perayaan.
Majlis itu mengesahkan semula dedikasi Bank Baiduri kepada memacu perkembangan dan inovasi dalam sektor kewangan, sambil mengekalkan tumpuan kepada pembangunan masyarakat dan pertumbuhan mampan.
Ia juga menggariskan janji berkekalan bank berkenaan untuk memperkasakan pelanggannya dan menyumbang secara positif kepada landskap ekonomi negara.

