Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis tandatangan pamer kerjasama jayakan acara sukan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – D’Sunlit Sdn Bhd mengadakan Majlis Menandatangani Penaja dan Rakan Kongsi bagi The Alpha Challenge 2025 pagi tadi menandakan jalinan kerjasama rasmi antara pihak penganjur dengan para penaja serta rakan kongsi sempena penganjuran edisi yang kesembilan acara perlumbaan halangan terulung negara.

    Menandatangani bagi pihak penganjur ialah Pengurus Operasi D’Sunlit Sdn Bhd, Ngu Tiing Siang dan Ketua Hubungan Perniagaan D’Sunlit Sdn Bhd, Mike Chia.

    Acara The Alpha Challenge 2025 dijadualkan berlangsung pada 23 November nanti bertempat di Pantai Muara dan Pantai Tanjung Batu, dengan menampilkan laluan baharu di Pantai Muara buat julung kalinya.

    Dengan tema Break the Shores, acara tersebut bertujuan menggalakkan para peserta menempuh batas kemampuan diri serta memupuk semangat ketabahan dan perpaduan.

    Tiga kategori akan dipertandingkan iaitu Fun Run sejauh tiga kilometer dengan lima halangan, Omega Challenge sejauh lima kilometer dengan lapan halangan, dan Beta Challenge sejauh 10 kilometer yang merangkumi 15 halangan serta menawarkan jumlah hadiah wang tunai sebanyak $15,000.

    Sebanyak 15 penaja rasmi dan 11 rakan kongsi rasmi tampil menyokong penganjuran tahun ini. Penaja rasmi terdiri daripada Imagine Sdn Bhd, NBT (B) Sdn Bhd, Swee Wah Enterprise, Tele Directories, Current Voltage, Bobby Electrical, Seri Utama Engineering, Cutepack Sdn Bhd, Syarikat Perniagaan Malar Setia, Ideal Group of Companies, YC Lee & Lee, Technotest Sdn Bhd, Jackhan Sdn Bhd, Sahid Sdn Bhd, Setia Motors dan Parvati Brunei.

    Sementara itu, rakan kongsi rasmi terdiri daripada TLT Enterprise, Mixmedia, Aewon Garment & Embroidery Sdn Bhd, Helmi Abdullah Fitness (HAF), Fitness Zone, Hui Huang Enterprise, Chop Kian Chuang/Carabao, RSW Services Sdn Bhd, Fuora Sports, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Tenpercent RC.

    Bagi tahun ini, penaja utama iaitu Imagine Sdn Bhd turut menawarkan hadiah cabutan bertuah menarik termasuk telefon pintar Samsung S25 (512GB) bagi pemenang utama serta dua unit Apple Watch Series 10 (42mm) bagi pemenang tempat kedua dan ketiga. Sumbangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong inisiatif kebangsaan ke arah memupuk gaya hidup sihat, kesedaran kesihatan dan penglibatan komuniti.

    Melalui majlis berkenaan, D’Sunlit Sdn Bhd menzahirkan penghargaan atas keyakinan serta kerjasama padu daripada semua penaja dan rakan kongsi yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan dan kesinambungan The Alpha Challenge.

    Acara tahunan berkenaan terus menjadi platform kecergasan ikonik yang menonjolkan semangat ketahanan, daya juang dan kerjasama antara peserta dengan gabungan unik antara cabaran fizikal serta keindahan alam semula jadi menjadikan acara tahun ini bakal menjadi satu pengalaman yang penuh semangat dan bermakna.

      Semua di atas: Antara suasana semasa majlis berkenaan.

    Semua di atas: Antara yang hadir ke majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda