Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis undi calon ketua kampung

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Majlis pengundian dan pemilihan calon dua jawatan ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara telah diadakan secara serentak di dua buah lokasi, hari ini.

    Pengundian dan pemilihan calon Ketua Kampung Tanah Jambu dan Kampung Salar, Mukim Mentiri telah diadakan di Dewan Muafakat Peladang Kampung Tanah Jambu, manakala pengundian dan pemilihan calon Ketua Kampung Serasa telah diadakan di Dewan Sekolah Rendah Serasa.

    Hadir menyaksikan majlis pengundian dan pemilihan calon di Dewan Muafakat, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri, sementara di Dewan Sekolah Rendah Serasa telah dihadiri oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Haji Mohd Khairul Sirajul Fikri bin Haji Jamaluddin.

    Turut hadir menyaksikan pengundian dan pemilihan di kedua-dua lokasi berkenaan, Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan, wakil Daerah Zon 2 dan Ketua Kampung Lumapas B, Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, wakil Daerah Zon 1.

    Majlis pengundian dan pemilihan calon bagi ketua-ketua kampung di mukim berkenaan dilaksanakan dengan menggunakan kertas undi dan menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK.

    Calon tunggal yang layak dibawa ke Majlis Pengundian dan Pemilihan Ketua Kampung Tanah Jambu dan Kampung Salar, Awang Mohammad Shamsulnizam bin Haji Abdul Latif dan pada pengundian itu beliau mendapat 111 undi.

    Manakala itu, calon Ketua Kampung Serasa yang dibawa ke majlis pengundian dan pemilihan ialah Awang Abdurrahman bin Haji Othman dan di majlis itu, beliau mendapat 108 jumlah undi, sementara calon kedua, Awang Amizul Ruhaifi bin Haji Majid mendapat 88 undi.

    Keputusan pengundian dan pemilihan calon ketua-ketua kampung yang dijalankan pada hari ini akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

    ATAS & BAWAH: Salah seorang penduduk membuang undi bagi memilih calon Ketua Kampung Tanah Jambu dan Kampung Salar. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Pengiraan jumlah kertas undi bagi calon Ketua Kampung Serasa dilakukan di hadapan penduduk kampung yang hadir. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    ATAS & BAWAH : Antara penduduk kampung di Mukim Serasa yang hadir menyaksikan pengiraan jumlah kertas undi. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda