Sunday, December 29, 2024
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis undi calon ketua kampung Mukim Lamunin

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    TUTONG, 18 OGOS – Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Bukit Sulang, Menengah dan Panchong, Mukim Lamunin telah diadakan hari ini bertempat di Kawasan Letak Kereta, Sekolah Rendah Panchong dan Dewan Sekolah Rendah Kampung Menengah menggunakan kaedah kertas undi.

    Manakala, pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah pun bermula pada 16 Ogos lalu.

    Calon tunggal yang layak bagi mengisikan jawatan Ketua Kampung Bukit Sulang, Menengah dan Panchong ialah Awang Mohammed Ali Asma’e bin Haji Mohammed Nasir, berusia 34 tahun pada tarikh pencalonan.

    Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri, selaku pengerusi majlis; pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Penghulu Mukim Lamunin dan pemangku-pemangku ketua kampung di bawah Mukim Lamunin serta penduduk kampung.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Ketua Imam Masjid Kampung Bang Dalam, Mukim Lamunin, Awang Hazman bin Haji Hussin.

    Seramai 226 orang penduduk kampung daripada seramai 274 orang yang berdaftar dan layak mengundi calon untuk mengisi jawatan Ketua Kampung Bukit Sulang, Menengah dan Panchong. Seramai 226 orang telah mengundi menggunakan kertas undi dan tidak ada yang mengundi menggunakan aplikasi muda alih e-Undi PMKK.

    Majlis pengundian dan pemilihan tersebut telah menyaksikan sebanyak 51 undi telah bersetuju. Manakala, 164 undi tidak bersetuju dan 11 dikategorikan sebagai undi rosak.

    Keputusan pengundian dan pemilihan calon Ketua Kampung Bukit Sulang, Menengah dan Panchong akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, KHEDN bagi proses selanjutnya.

    Awang Mohammad Sofian selaku pengerusi majlis antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung yang diadakan kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda