Monday, July 8, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Majlis undi calon ketua kampung Mukim Lumapas

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung bagi Mukim Lumapas telah diadakan hari ini di Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab.
     
    Hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.
     
    Majlis pengundian itu menyaksikan calon tunggal bagi Ketua Kampung Lumapas A, Awang Mohammad Asri bin Haji Bakar menerima 112 undi.
     
    Manakala dua calon Ketua Kampung Lupak Luas dan Kampung Tarap Bau, Mukim Lumapas, Awang Muhammad Fathurrahman bin Haji Kudarat mendapat 47 undi dan calon kedua, Haji Samry bin Haji Mohamad pula mendapat 87 undi.
     
    Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak dalam ucapannya berkata bahawa keputusan undi yang diperoleh akan dibawa dan disokong untuk dipertimbangkan bagi menyandang jawatan berkenaan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk proses seterusnya.
     
    “Mengundi merupakan satu mekanisme bagi setiap penduduk dan rakyat di negara ini yang telah cukup umur untuk memilih pemimpin di peringkat akar umbi, sama ada mengundi menyokong atau tidak menyokong calon bagi mengisi jawatan ketua kampung.
     
    “Setiap undi akan dikira dan keputusan pengundian akan menentukan sama ada calon berkenaan layak untuk mengisi serta menjawat jawatan ketua kampung atau sebaliknya,” tambahnya.
     
    Turut hadir ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi daerah Zon 5, iaitu Ketua Kampung Putat, Mukim Lumapas, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed dan Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, yang juga Ketua Kampung Lumapas B, Mukim Lumapas.
     
    Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak menyampaikan ucapan pada Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung bagi Mukim Lumapas. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Pengiraan kertas undi dijalankan di hadapan tetamu kehormat pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Demam denggi landa selatan India, Karnataka

    NEW DELHI, 7 JULAI – Demam denggi melanda beberapa bahagian di negeri selatan India, Karnataka, dengan hampir tujuh orang disyaki meninggal dunia akibat penyakit...