JAKARTA, 30 JUN – Majoriti pelajar persendirian Malaysia di Indonesia tidak memiliki skim insu-rans perlindungan diri.
Bakal Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar berkata ibu bapa terbabit perlu sedar bahawa anak- anak mereka juga terdedah dengan pelbagai risiko kemalangan, jatuh sakit atau kesan akibat kejadian bencana.
“Kos rawatan perubatan di Indonesia agak mahal, saya meminta ibu bapa yang menghantar anak mereka belajar di pusat-pusat pengajian di Indonesia, memiliki skim insurans perubatan atau perlindungan diri,” katanya kepada Bernama.
Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun berkata sebanyak 3,438 pelajar Malaysia di Indonesia yang berdaftar dengan EMI, 2,707 daripadanya adalah pelajar persendirian yang majoritinya tidak memiliki insurans. Dr Mior Harris berkata terdapat beberapa kes pelajar persendirian yang terbabit kemalangan dan dirawat di hospital di Indonesia yang membabitkan kos yang tinggi.
Pada tahun 2019 misalnya, seorang pelajar Malaysia terbabit dalam kemalangan di Medan, dengan kos rawatan RM60,000. “Tahun 2018, dua pelajar maut dalam kemalangan di Ponorogo dan Pekan Baru. Kos membawa pulang jenazah sekitar RM15,000. – Bernama