SAN FRANCISCO, 20 DIS – Majoriti pengundi Twitter mahu bilionair, Elon Musk berundur daripada terus menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) platform media sosial berkenaan.
‘Suara’ pengguna itu dizahirkan menerusi undian mereka di tinjauan pendapat yang dilakukan Musk sebelum ini. Berdasarkan hasil undian, 57.5 peratus iaitu lebih 17 juta akaun mahu Musk berundur.
Musk, yang juga pemilik syarikat kereta Tesla dan firma roket SpaceX, masih belum memberi maklum balas berhubung isu berkenaan.
“Persoalannya bukan mencari CEO, persoalannya mencari CEO yang boleh memastikan Twitter terus hidup,” kata jutawan kelahiran Afrika Selatan itu sebelum undian ditutup.
Musk mengambil alih Twitter sejak 27 Oktober lalu dan berulang kali menimbulkan kontroversi sejak menjadi CEO.
Antaranya, memecat separuh daripada kakitangan, menerima semula tokoh paling kanan ke platform, menyekat akaun wartawan dan cuba mengenakan bayaran untuk perkhidmatan percuma sebelum ini.
Dalam perbincangan dengan pengguna selepas menyiarkan tinjauan pendapat terbaharunya, Musk memberi amaran yang platform itu mungkin menuju ke arah kemuflisan. – AFP


