Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Bagi memberi penghargaan serta mengeratkan hubungan bersama para pelanggan, Syarikat Maju Motors selaku pengedar tunggal Volkswagen (VW) dan Skoda di Brunei, telah mengadakan Family Fun Day untuk orang ramai serta para pelanggan di bilik pamerannya di Telanai, kelmarin.
Pada acara itu, Syarikat Maju Motors menyediakan pelbagai aktiviti serta kegiatan untuk setiap pengunjung serta seisi keluarga. Para pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai jenis produk dan makanan yang disediakan oleh para peniaga tempatan. Lebih kurang 30 petak jualan diisikan pada hari keluarga berkenaan yang disusun di perkarangan dan ruang legar bilik pameran Maju Motors. Antara yang turut mencuri perhatian semasa acara berkenaan ialah majlis penyerahan eksklusif kenderaan Skoda Superb L&K 2.0TSI (2019) yang dibeli oleh Dayang Siti Nurnajibah binti Kipli.
Kenderaan berkenaan telah diserahkan oleh Pengurus Besar Maju Motors, Awangku Mohamad Abdul Aziz bin Pengiran Ratna Wijaya Brigedier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan. Melalui acara seumpama itu, para pengunjung berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat dan mengetahui dengan lebih lanjut lagi beberapa kenderaan Volkswagen dan Skoda yang boleh didapati di sana. Baru-baru ini, Maju Motors telah memperkenalkan ‘ServiceXpress’ bagi membolehkan perkhidmatan penyelenggaraan rutin yang cepat dan menawarkan baucar diskaun bagi alat ganti dan caj perkhidmatan kepada pelanggan setia.
