Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majukan kerjasama serantau dalam bidang sains, teknologi

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan penglibatan dan penyertaan berterusan dalam memajukan kerjasama serantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi dengan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi ke-21 (AMMSTI-21), Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-87 (COSTI-87) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang diadakan dari 16 hingga 20 Jun di Jakarta, Indonesia.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam ke AMMSTI-21 diketuai oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Mesyuarat yang dihadiri oleh menteri-menteri, perwakilan peringkat tinggi dari semua 10 negara anggota ASEAN, Timor-Leste dan Setiausaha Agung ASEAN itu dipengerusikan oleh Pengerusi Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN), Indonesia, Dr Laksana Tri Handoko.

    Mesyuarat AMMSTI-21 meluluskan dan melancarkan Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2026-2035, yang menggambarkan ASEAN yang bersatu, inovatif, bersiap siaga dan berdaya tahan dipacu oleh sains dan teknologi dalam bidang strategik seperti kesihatan, tenaga, makanan dan pertanian, pemindahan teknologi, ekonomi biru, ruang dan mobiliti bakat untuk meningkatkan daya saing serantau. Usaha juga sedang diteruskan untuk menambah baik akses saksama, pembangunan modal insan dan infrastruktur inovasi.

    AMMSTI-21 turut mengesahkan laporan COSTI ASEAN ke-87, yang menggariskan kemajuan Keutamaan Tahunan (AP) 2025 dan Penyerahan Ekonomi Keutamaan (PED) di bawah sektor Sains, Teknologi dan Inovasi.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menghadiri AMMSTI ke-21 di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MTIC

    Pada masa yang sama, mesyuarat juga mengesahkan lagi dua cadangan PED untuk 2026, iaitu Rangka Kerja Sains, Teknologi dan Inovasi Serantau mengenai AI untuk Kesihatan; dan Deklarasi ASEAN mengenai Kelestarian Angkasa Lepas (ADSOS).

    Dalam kenyataan, Yang Berhormat Pengiran mengongsikan bahawa Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan pengesahan APASTI 2026-2035 memandangkan negara juga sedang membangunkan strategi sains, teknologi dan inovasi negara, yang akan membantu melakarkan hala tuju jangka panjang negara dengan mengenal pasti bidang tumpuan, mengukuhkan keupayaan negara dan memastikan ekosistem STI untuk memenuhi keperluan domestik dan peluang serantau.

    Oleh itu, keutamaan negara akan diselaraskan dengan APASTI 2026-2035 untuk memastikan kesepaduan dan saling melengkapi di samping mengiktiraf kepentingan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan untuk mencari penyelesaian dan menyokong kemajuan serantau.

    Yang Berhormat turut menegaskan kepimpinan Negara Brunei Darussalam dalam menguruskan inisiatif AJSTD, yang dilaksanakan melalui Universiti Brunei Darussalam (UBD). Usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan keberadaan dan keupayaan jurnal melalui penyepaduan kecerdasan buatan.

    Selain itu, Yang Berhormat mengongsikan bahawa Negara Brunei Darussalam berharap untuk menghoskan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC) dan mengalu-alukan sokongan negara anggota ASEAN dan matlamat ACCC dalam memainkan peranan penting untuk memajukan sains berkaitan iklim, menggalakkan kerjasama dan membantu ASEAN bertindak balas terhadap cabaran iklim melalui inovasi dan perkongsian pengetahuan.

    Mesyuarat COSTI-87 diwakili Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN COSTI Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda