Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku Presiden Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO), telah menyertai Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Jawatankuasa Pandu Peringkat Tinggi (HLSC) Matlamat Pembangunan Mampan ke-4 (SDG4) Pendidikan 2030 dan Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Guru yang berlangsung di Santiago, Republik Chile pada 28 hingga 29 Ogos.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, acara yang dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Kerajaan Republik Chile, bermatlamat untuk menangani cabaran global kekurangan guru serta memperjuangkan sokongan berterusan kepada guru dalam memajukan pendidikan inklusif dan saksama untuk semua.
Sidang kemuncak itu menumpukan tiga tema utama iaitu dasar dan strategi untuk memperkukuh profesion perguruan, pendidikan dan pembangunan profesional serta dialog sosial dan penglibatan dalam pembuatan keputusan dan dasar.
Tema-tema tersebut mencerminkan komitmen UNESCO untuk memperkukuh status, sokongan dan pembangunan guru sebagai pemangkin utama kemajuan ke arah SDG4.
Acara berkenaan dirasmikan oleh Presiden Republik Chile, Tuan Yang Terutama Gabriel Boric Font, selaku Pengerusi Bersama HLSC SDG4-Pendidikan 2030, bersama dengan Ketua Pengarah UNESCO.


Dalam ucapannya, TYT Gabriel Font menekankan kepentingan kerjasama global dan multilateral, dengan menyatakan transformasi sistem pendidikan perlu mempelajari daripada kejayaan dan kegagalan pihak lain.
Beliau turut menekankan pendekatan kolaboratif dianggap sangat penting untuk mempercepatkan kemajuan ke arah mencapai SDG4 menjelang 2030.
Selaku Presiden Majlis SEAMEO, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah telah menyertai Mesyuarat Pemimpin HLSC SDG4 Pendidikan 2030, sebuah badan pendidikan global utama yang menyelaras usaha kolektif untuk memajukan agenda pendidikan global dalam menyokong kemajuan negara ke arah SDG4.
Semasa mesyuarat berkenaan, ahli-ahli HLSC turut berkongsi pandangan dan amalan terbaik berkaitan dengan tema-tema yang dibincangkan.
Yang Berhormat Datin mengongsi inisiatif SEAMEO dalam usaha untuk mencapai SDG 4, termasuklah Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM), Out of School Children and Youth (OOSCY) serta Pelan Pendidikan Hijau.
Yang Berhormat Datin turut menekankan kepentingan transformasi pembiayaan pendidikan yang memerlukan sokongan daripada UNESCO untuk melaksanakan penilaian diagnostik di rantau itu.
Di akhir mesyuarat, para pemimpin turut mengesahkan penerimaan Keputusan 2025 bagi Mesyuarat Pemimpin-pemimpin HLSC SDG4 Pendidikan 2030.
Yang Berhormat Datin turut menyertai sesi pleno yang membincangkan mengenai dasar untuk menangani kekurangan guru dan meningkatkan keadaan kerja.
Dalam sesi itu, Yang Berhormat Datin mengongsikan beberapa inisiatif SEAMEO dalam menyokong dasar pembangunan guru serta menegaskan kepentingan kerjasama dan komitmen serantau dalam memperkukuh dasar guru yang menyeluruh khususnya dalam aspek pengambilan, pengekalan, keadaan kerja dan penempatan guru.
Sidang kemuncak menyaksikan penerimaan Konsensus Santiago, yang menggariskan komitmen bersama untuk menangani isu kekurangan guru global, meningkatkan keadaan kerja dan mengangkat profesion perguruan melalui penyelarasan tindakan dasar serta pelaburan berterusan dalam pendidikan.
Antara yang turut mengiringi Yang Berhormat Datin pada sidang itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman dan para pegawai dari Kementerian Pendidikan.

