Saturday, November 2, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majukan sektor pertanian, perikanan dan penternakan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Allah SWT menciptakan alam semesta ini dengan segala kenikmatan dan harta yang terkandung di dalamnya adalah untuk memenuhi keperluan manusia.

    Ia mengandungi antaranya komponen biotik seperti haiwan, tumbuhan dan mikro organisma dan juga komponen abiotik seperti minyak, gas, pelbagai jenis logam, air, tanah dan lain-lain.

    Semuanya itu dihamparkan oleh Allah SWT sebagai bidang penghidupan yang mampu membawa kesejahteraan dan kemakmuran.

    Ini setentunya menghendaki manusia untuk berusaha dan bekerja demi mencapai dan memenuhi keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

    Semuanya itu diserahkan kepada kita selaku manusia untuk diambil manfaat dengan segala bentuk usaha menurut kecekapan, kemahiran dan kemampuan yang ada.

    GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI

    Perkara berkenaan ditekankan oleh khatib dalam khutbah Jumaat yang bertajuk Meningkatkan Ekonomi dalam Bidang Pertanian, Perikanan dan Penternakan, hari ini.

    Khatib antaranya turut menambah dengan adanya sumber dan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT itu, ia perlulah digunakan dan dimakmurkan dengan sebaiknya. Selain daripada itu, setiap daripada kita perlu mempunyai motivasi menjadi pemakmur kepada bumi.

    Adapun antara sumber bumi yang boleh dimakmurkan dan diusahakan ialah seperti bidang pertanian, perikanan dan penternakan.

    Menyentuh mengenai tujuan utama pertanian dan perikanan pada awalnya, khatib menjelaskan semua itu adalah untuk memenuhi keperluan asasi manusia iaitu makanan dan minuman. Namun dengan perkembangan sains dan teknologi yang berasaskan kepada kajian dan penyelidikan, ia telah berkembang kepada bidang penternakan.

    Selain itu, pelbagai inovasi telah dicipta dalam bidang pertanian dan perikanan. Ini telah meningkatkan kecekapan, menjimatkan masa dan kos dan berupaya meningkatkan hasil pengeluaran dan pada masa yang sama ia mesra alam dan tiada memudaratkan.

    Menurutnya lagi, pertanian dan perikanan adalah satu bidang perniagaan yang memberi peluang yang besar kepada umat Islam khususnya dalam pengeluaran makanan dan produk makanan halal yang membuka peluang pekerjaan dan keuntungan kepada pelabur dan pengusaha.

    Pelbagai strategi program yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak yang berkaitan dalam meningkatkan sumbangan ke arah sektor pertanian dan perikanan bagi pembangunan negara.

    Oleh itu, bagi mendukung dan menjayakan apa juga program dan projek tersebut, kita hendaklah bijak mengambil peluang dan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dalam memajukan sektor pertanian dan perikanan ini.

    Ini selari dengan hasrat negara bagi mencapai Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk mempelbagaikan ekonomi negara supaya tidak hanya bergantung kepada hasil minyak dan gas dan juga hasrat negara untuk meningkatkan lagi kualiti hidup dengan mengekalkan sumber alam sekitar yang sihat dan bersih.

    Khatib turut menekankan Islam telah meletakkan bidang pertanian dan perikanan sebagai fardu kifayah kerana kedua-dua bidang tersebut mempunyai peranan yang besar dan penting kepada kehidupan manusia. Dengan melaksanakan tuntutan fardu kifayah ini juga telah dapat memberi sumbangan yang besar kepada negara khususnya kepada peningkatan ekonomi.

    Oleh yang demikian, para peladang, petani, nelayan dan penternak selaku pemakmur bumi harus berbangga dengan pekerjaan yang mereka lakukan lebih-lebih lagi ia juga merupakan satu ibadah yang turut sama memberi sumbangan kepada pembangunan negara.

    “Maka ke arah mempelbagaikan sumber ekonomi negara, marilah kita sama-sama menyahut seruan raja yang kita kasihi khususnya kepada golongan belia di negara ini, untuk bersama-sama berganding tenaga dan berusaha bagi mengembang majukan lagi bidang pertanian, perikanan dan penternakan demi kelangsungan hidup bangsa dan negara kita yang tercinta ini.

    “Sumbangan semua rakyat ke arah kemakmuran dan kesejahteraan negara adalah sebahagian daripada tuntutan Islam,” ujar khatib.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda