Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makam Lumumba diceroboh, gigi emas hilang?

    KINSHASA, 20 NOV – Kerajaan Republik Demokratik Congo melaporkan bahawa makam pejuang kemerdekaan yang dibunuh, Patrice Lumumba, di ibu kota Kinshasa, telah dimusnahkan. Namun, masih belum jelas sama ada peninggalannya iaitu sebatang gigi bersalut emas, telah rosak atau dicuri.

    Seorang pengurus makam memberitahu agensi berita nasional bahawa keranda yang mengandungi gigi tersebut telah dipecahkan pada Isnin lalu.

    Timbalan Datuk Bandar kawasan makam tersebut memaklumkan kepada saluran radio utama negara bahawa pintu kaca makam turut dipecahkan, dan empat suspek telah ditahan.

    Namun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada gigi itu telah dicuri atau tidak.

    Tidak jelas siapa yang bertanggungjawab atas tindakan vandalisme itu, kata Kementerian Kebudayaan Congo dalam satu kenyataan kelmarin.

    Kelihatan sebuah tugu peringatan untuk Lumumba di Kinshasa, Congo, pada 20 Jun 2022. – AP

    Pemulangan gigi Lumumba oleh bekas penjajah Belgium pada 2022 telah diraikan di seluruh Congo, dengan gigi tersebut dibawa ke seluruh negara itu bagi membolehkan rakyat memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin yang disanjungi itu.

    Lumumba dialu-alukan oleh rakyat sebagai pejuang nasionalis yang membantu menamatkan pemerintahan kolonial. Beliau menjadi Perdana Menteri pertama Congo dan dilihat sebagai salah seorang pemimpin muda Afrika yang paling cerah masa depannya, namun, beliau dibunuh dalam masa setahun pada 1961.

    Tubuhnya telah dikerat dan dilarutkan menggunakan asid, dipercayai untuk menghalang makam beliau daripada dijadikan sebagai tempat ziarah awam.

    Bagi kebanyakan rakyat Congo, Lumumba adalah simbol harapan dan potensi pembangunan positif yang boleh dicapai selepas kemerdekaan.

    Namun, negara itu kemudiannya terjerumus dalam pemerintahan diktator selama beberapa dekad, yang menghabiskan sumber mineral negara itu. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda