Friday, February 21, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makam Raja Thutmose II yang hilang ditemukan

    KAHERAH, 19 FEB – Ahli arkeologi telah menemukan sebuah makam purba di Mesir semenjak penemuan pertamanya iaitu makam Firaun Tutankhamun yang ditemukan pada 1922, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Pada Selasa, pihak berkuasa Mesir mengumumkan penemuan makam Raja Thutmose II, satu-satunya makam diraja Dinasti ke-18 Mesir yang sebelum ini masih belum ditemui. Dinasti itu memerintah selama lebih dua abad antara 1550 SM dan 1292 SM.

    Setiausaha Agung Egyptian Supreme Council of Antiquities, Mohamed Ismail Khaled, menyifatkannya sebagai antara penemuan terpenting sejak beberapa dekad.

    “Ini adalah kali pertama barangan pengebumian milik Thutmose II ditemukan, kerana tiada artifak seumpamanya wujud di mana-mana muzium di dunia,” katanya.

    Ketua misi Mesir, Mohamed Abdel Badei berkata walaupun penemuan itu amat berharga, makam berkenaan dijumpai dalam keadaan daif kerana dilanda banjir tidak lama setelah kemangkatan raja berkenaan.

    “Kerja-kerja pemuliharaan mendapati terdapat kerosakan yang teruk akibat air, menyebabkan banyak artifak asal hilang, yang dipercayai telah dipindahkan sejak zaman purba,” katanya.

    Bagaimanapun, pasukan arkeologi berjaya memulihkan sebahagian plaster dinding yang runtuh, yang dihiasi reka bentuk rumit termasuk inskripsi berwarna biru, motif bintang kuning dan elemen teks keagamaan penting yang digunakan dalam makam diraja.

    Ketua misi British, Piers Litherland berkata reka bentuk makam itu memiliki corak tipikal, namun terdapat keunikan pada koridor keduanya.

    “Koridor ini telah diperbesarkan sebanyak dua kali dan cenderung ke atas, bukannya ke bawah seperti kebiasaan, melebihi paras lantai ruang utama,” katanya.

    Beliau menjelaskan bahawa koridor itu dipercayai dibina sedemikian rupa bagi memudahkan jasadnya dikeluarkan dari makamnya yang dilanda banjir. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda