Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makan di restoran 127 kali tanpa membayar

    BELANDA, 12 FEB – Seorang lelaki berusia 58 tahun telah dikecam oleh peniaga restoran di bandar Delft, di Belanda selepas lelaki itu makan di restoran tanpa membayar sekurang-kurangnya 127 kali dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

    Menurut laporan Oddity Central bulan lalu, polis di Delft tiba di sebuah restoran di mana seorang lelaki didakwa cuba mengelak daripada membayar bil dengan memalsukan keadaan kesihatannya.

    Menurut Mike Hogeveen, seorang pelayan di sebuah restoran, lelaki itu menarik perhatiannya apabila dia memberitahu untuk membayar minuman orang ramai dan menawarkan makanannya untuk dikongsi dengan pelanggan lain, namun dia menjadi tumpuan apabila tangan kirinya mula menggeletar seakan-akan dilanda strok.

    Pasukan perubatan dipanggil di tempat kejadian, tetapi ketika memeriksa lelaki itu, mereka menyedari bahawa dia hanya berlakon dan enggan membawanya ke hospital seperti yang diminta oleh lelaki itu.

    Pemilik restoran kemudiannya bertanyakan kepada lelaki itu mengenai bil, tetapi selepas melihat pelanggan itu kelihatan seperti selepas mengalami strok ringan, pemilik restoran mencadangkan dia untuk melunaskan bil tersebut kemudian.

    Gambar Freepik

    Lelaki itu bersetuju, tetapi ketika dia memberikan nama dan alamat, seorang anggota perubatan mencelah dan mendakwa dia telah memberikan nama dan alamat yang lain sebentar tadi.

    “Dia sangka boleh terlepas daripada membayar bil yang berjumlah AS$108 dengan berpura-pura sakit,” kata Hogeveen.

    Pemilik restoran kemudian memanggil polis selepas menerima nasihat daripada anggota perubatan.

    Mereka memeriksa kocek lelaki itu untuk pengenalan diri dan selepas memeriksa fail di balai polis, mereka menyedari bahawa dia adalah pelanggan yang menipu restoran tempatan selama bertahun-tahun.

    Terdapat sekurang-kurangnya 127 aduan terhadapnya kerana telah makan di restoran tanpa membayar, tetapi walaupun di saman, tiada siapa yang dapat menghalang lelaki itu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda