Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Persatuan Fuzhou Shiyyi pada malam tadi telah menganjurkan majlis Makan Malam Gala Tahun Baharu Cina yang berlangsung di dewan serba guna bangunan persatuan berkenaan di Jalan Pasir Berakas.
Majlis yang dihadiri oleh ribuan ahli dan keluarga persatuan berkenaan diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar dalam kalangan keluarga ahli persatuan berkenaan yang mendapat keputusan akademik cemerlang serta penghargaan bagi warga emas persatuan berkenaan.
Hadir semasa majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Lau How Teck berserta ketua-ketua perwakilan negara luar ke Brunei Darussalam yang berkesudian menyampaikan hadiah kepada para pelajar cemerlang pada majlis tersebut.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei, Jackson Ting antara lain menjelaskan bahawa majlis tersebut merupakan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kebersamaan antara sesama ahli persatuan dan rakan-rakan serta keluarga.
Beliau turut menyeru dan berharap agar semua ahli persatuan dapat terus menyokong kepimpinan baharu persatuan berkenaan dan kekal menjadi sebahagian daripada aspirasi persatuan dengan bangga.
Beliau percaya dengan menerima tanggapan toleransi, penghargaan, penerimaan antara satu sama lain, mengamalkan kebersamaan dan tidak mementingkan diri sendiri dalam mencapai sesebuah misi akan membolehkan rakan Fuzhou Shiyyi bersinar untuk berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat serta membalas budi negara.
Majlis turut diserikan dengan upacara menggaul Yee Sang yang merupakan tradisi masyarakat Cina semasa menyambut tahun baharu.