BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Bagi mengalu-alukan lawatan mantan penuntut Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) ke Negara Brunei Darussalam, mantan penuntut Brunei di STAR telah mengadakan majlis makan malam kelmarin di sebuah hotel di Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan isteri. Turut hadir ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Haji Ahmad bin Haji Jumat dan isteri.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan lawatan rakan-rakan dari Malaysia dan juga mengingati ulang tahun ke-60 penghantaran penuntut Brunei yang pertama ke sekolah itu pada tahun 1958 dan pada tahun 2011, STAR telah dianugerahkan sebagai sekolah cemerlang.
Seramai 42 orang penuntut Brunei yang belajar di sekolah itu dari tahun 1958 hingga tahun 1964. Kesemuanya telah pulang dan menyumbangkan bakti kepada negara dan telah menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam, diplomatik, ketenteraan, pensyarah universiti dan juga dalam sektor swasta.