Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Bersempena ulang tahunnya yang ke-10, Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA) telah mengadakan Majlis Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun BITA ke-10 yang berlangsung di Dewan Sutra, Tingkat 4, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, baru-baru ini.
Acara itu disokong oleh Jawatankuasa Pengurusan BITA, dan ahli-ahlinya iaitu AIA Singapore Pte Ltd, Audley Insurance Company Sdn Bhd, The Great Eastern Life Assurance Co Ltd, National Insurance Company Berhad, Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd, Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd, Standard Insurance Sdn Bhd, Tokio Marine Insurance Singapore Ltd, Tokio Marine Life Insurance Singapore Ltd, Takaful Brunei Am Sdn Bhd dan Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd, serta difasilitasi oleh Jawatankuasa Kecil Literasi dan Kesedaran Kewangan (FLASC) BITA.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Noorafidah binti Sulaiman, dengan Pengerusi BITA, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Shahrildin menekankan bahawa BITA kini sedang membangunkan pendigitalan proses pendaftaran dan pembaharuan agensi, sebagai sebahagian daripada dedikasi dalam menambah baik perkhidmatan menyeluruh kepada ahli dan ejennya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi BITA dari 2014 hingga 2019, pegawai-pegawai utama dari BITA, pegawai-pegawai kanan dari BDCB dan ahli-ahli BITA, serta ejen-ejen insurans dan takaful berdaftar di negara ini.
