HONG KONG, 29 NOV – Usahawan kripto, Justin Sun menunaikan janjinya hari ini dengan memakan pisang daripada karya seni bernilai AS$6.2 juta yang dibelinya, dalam sebuah acara di salah satu hotel termahal Hong Kong.
Di hadapan wartawan dan pengaruh media sosial, Sun memakan pisang tersebut selepas menyampaikan ucapan tentang kaitan antara seni konseptual dan teknologi kripto.
“Pisang ini jauh lebih sedap daripada pisang-pisang lain,” kata Sun selepas merasai gigitan pertama.
Karya seni bertajuk Comedian , ciptaan artis Itali Maurizio Cattelan, menampilkan sebiji pisang yang dilekatkan pada dinding menggunakan pita pelekat. Ia dijual di lelongan Sotheby’s di New York minggu lalu, di mana Sun muncul sebagai pemenang dalam kalangan tujuh pembida.
Sun menjelaskan bahawa keputusan untuk memakan pisang dibuat dalam masa 20 saat selepas memenangi bidaan. “Makan pisang ini di sidang media boleh menjadi sebahagian daripada sejarah karya seni ini,” katanya.
Karya Comedian sebelum ini mencetuskan kontroversi ketika debutnya di pameran Art Basel 2019 di Miami Beach, mengundang persoalan mengenai definisi seni, seperti yang dihasratkan oleh Cattelan.
Sun turut membandingkan seni konseptual seperti Comedian dengan seni NFT dan teknologi blockchain. “Kebanyakan objek dan ideanya wujud sebagai harta intelek dan dalam talian, berbanding sesuatu yang fizikal,” katanya. – AFP