Setiap lelaki pasti mahu kelihatan segak dan awet muda, tetapi tanpa sedar, ada makanan yang dimakan setiap hari sebenarnya boleh mempercepatkan proses penuaan.
Kulit berkedut, kusam, dan nampak lebih tua daripada usia sebenar bukan sahaja disebabkan oleh faktor umur, tetapi juga gaya hidup dan pemakanan. Jadi, kalau nak kekal muda dan tampan lebih lama, elakkan makanan-makanan berikut.
GULA BERLEBIHAN
Gula bukan sahaja membuatkan perut buncit, tetapi juga mempercepatkan proses penuaan kulit. Pengambilan gula yang tinggi menyebabkan glycation, iaitu proses di mana molekul gula berlebihan melekat pada protein dalam badan, termasuk kolagen dan elastin.
Akibatnya, kulit hilang keanjalan, cepat berkedut dan nampak lebih tua. Jadi, jika ingin kulit tegang dan sihat, kurangkan minuman manis, kuih-muih dan makanan bergula tinggi.
MAKANAN BERGORENG
Ayam, kentang dan pisang goreng – memang sedap, tapi makanan bergoreng mengandungi lemak trans yang boleh menyebabkan keradangan dalam badan. Ia bukan sahaja membahayakan kesihatan jantung tetapi juga boleh merosakkan sel kulit, menjadikannya cepat kendur dan kusam. Sekiranya awda tidak dapat meninggalkannya secara langsung, cuba kurangkan atau gantikan dengan makanan yang dipanggang atau dikukus.
MAKANAN DIPROSES
Makanan seperti sosej, nuget, daging burger dan makanan dalam tin mengandungi bahan pengawet, garam tinggi, dan bahan kimia yang boleh memberi kesan buruk kepada kulit.
Garam yang berlebihan pula boleh menyebabkan kulit dehidrasi dan tampak kering, menjadikannya lebih mudah berkedut.
MAKANAN SEGERA
Burger, piza dan makanan segera lain bukan sahaja tinggi garam dan lemak tepu, tetapi juga mengandungi bahan tambahan yang boleh menjejaskan kesihatan kulit. Makanan itu juga meningkatkan risiko keradangan dalam badan, yang boleh mempercepatkan kemunculan kedutan dan garis halus.
MINUMAN BERKAFEIN BERLEBIHAN
Kopi memang penyelamat pagi bagi ramai lelaki, tetapi pengambilan kafein secara berlebihan boleh menyebabkan dehidrasi pada kulit.
Apabila kulit kurang air, ia akan kehilangan keanjalan dan nampak lebih tua. Jika awda peminat kopi tegar, pastikan minum air kosong secukupnya untuk mengimbangi kesan dehidrasi tersebut.
KARBOHIDRAT PUTIH
Nasi putih, roti putih, mi segera – semuanya mengandungi karbohidrat putih yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat. Seperti gula, ia juga boleh merosakkan kolagen dalam kulit dan mempercepatkan penuaan. Lebih baik gantikan dengan karbohidrat kompleks seperti nasi perang, oat, dan roti gandum penuh.
Kalau ingin kekal muda dan segak lebih lama, mulakan dengan menjaga pemakanan.
Elakkan makanan yang boleh merosakkan kulit dan amalkan diet yang kaya dengan sayur-sayuran, buah-buahan, protein berkualiti, serta air yang mencukupi.
Selain itu, pastikan juga tidur cukup, bersenam dan kawal stres kerana semua ini turut memainkan peranan dalam mengekalkan wajah yang muda dan bertenaga. – Agensi