HANOI – Pulau Phu Quoc bukan sahaja terkenal dengan makanan laut yang segar, masakan tempatannya juga mempunyai pelbagai juadah unik daripada nam tram (Tylopilus Felleus), sejenis cendawan yang tumbuh di hutan cajuput atau kayu putih.
Cendawan itu juga boleh ditemui di tengah Vietnam, terutamanya di wilayah Thua Thien Hue, Quang Tri dan Quang Binh.
Menurut Dinh Ba Loc, seorang petani tempatan, cendawan jenis ini bertahan selama kira-kira sebulan. Ia berwarna coklat gelap di bahagian luar dan putih licin di dalam.
“Ia tumbuh di lereng bukit, di sepanjang sungai, atau di daun reput di hutan kayu putih,” katanya. “Cendawan tumbuh dengan cepat selepas hujan pertama pada musim luruh. Ia merebak ke seluruh hutan dalam masa sebulan dan layu.”
Oleh itu, penduduk tempatan sentiasa datang ke hutan untuk mengambil cendawan pada bulan keempat dan ketujuh lunar.




Daun dan kulit pokok gugur ke tanah dan beransur-ansur menjadi reput, yang merupakan keadaan yang baik untuk cendawan tumbuh, jelasnya.
“Spora kulat yang terdapat dalam daun dan kulit kayu yang reput menunggu hujan pertama sebelum berkembang menjadi cendawan kecil, yang tumbuh dan bertahan hanya beberapa hari,” katanya.
Cendawan berkenaan boleh mempunyai warna ungu, kuning muda, coklat atau putih susu.
Loc berkata cendawan tersebut mempunyai rasa yang agak pahit tetapi ia mempunyai ciri-ciri yang baik.
Pelbagai dokumen saintifik telah menyebut bahawa cendawan jenis ini mempunyai banyak vitamin kumpulan B (seperti B1, B2, B3), yang baik untuk sistem saraf.
“Apabila awda memakan cendawan jenis ini, badan awda boleh menyerap vitamin D, protein, zat besi dan serat,” kata pakar pemakanan, Pham Van Hoan.
“Cendawan cajuput Phu Quoc mempunyai selenium anti-oksida; ergothioneine, yang membantu meningkatkan penghadaman dan bahan antibakteria, anti-kulat dan pencegah kanser yang lain,” katanya.
Cendawan itu sangat baik untuk ibu-ibu mengandung dan orang-orang tua, katanya.
Nguyen Van Trung, yang mengendalikan Restoran Tina Nguyen di selatan Pulau Phu Quoc, berkata cendawan itu boleh digunakan untuk membuat pelbagai juadah istimewa pulau mutiara itu.
Dalam menunya, sup daripada cendawan dengan telur, makanan laut, dan bubur cendawan, adalah antara menu utamanya.
Sup dari cendawan
Ini adalah salah satu hidangan paling berwarna-warni di pulau itu yang mengandungi warna coklat cendawan dan bebola daging kisar, warna merah dan putih makanan laut, warna kuning telur, warna hijau sayur-sayuran, herba, warna merah cili segar dan warna hitam lada kisar.
Bawang hijau hendaklah digoreng terlebih dahulu, kemudian ditambah air dan direbus.
Kemudian, bebola daging dimasukkan untuk dimasak dengan baik. Sementara itu, periuk lain dipanaskan untuk menggoreng bawang putih kisar dan kemudian cendawan, dan rempah ditambah untuk meningkatkan rasa.
Makanan laut seperti udang dan sotong hendaklah dikacau, kemudian beberapa hirisan cili merah dimasukkan.
Cendawan dan makanan laut kemudiannya dimasukkan ke dalam kuah bersama bebola daging. Apabila kuahnya mendidih, masukkan sedikit telur dan kacau rata. Sayur-sayuran seperti daun keledek perlu ditambah kemudian.
Sup perlu dihidangkan panas dengan beberapa herba, lada kisar dan beberapa hirisan cili segar.
Bubur cendawan
Bubur dengan cendawan cajuput Phu Quoc mempunyai rasa lemak dan sedikit pahit, yang dikatakan baik untuk orang yang sakit kepala, letih dan selesema.
Bahan-bahan termasuk udang segar, daging lembu, sos ikan, dan rempah ratus.
Trung mengingatkan orang ramai untuk memotong cendawan menjadi kepingan nipis sebelum dimasukkan ke dalam bubur.
Trung berkata, memandangkan cendawan itu begitu berkhasiat, pengunjung tidak boleh makan terlalu banyak sekali gus bagi mengelakkan perut senak.
“Cendawan itu harus dimasak dengan baik untuk memastikan keselamatan perut kita. Cendawan juga tidak boleh dikacau dalam minyak yang terlalu banyak untuk mengelakkan minyak berlebihan kerana cendawan itu sendiri sudah mengandungi banyak protein,” katanya.
Trung juga menegaskan bahawa cendawan itu ‘sejuk’ jadi seseorang harus mengelak memakannya dengan ais.
“Cendawan mengandungi banyak zat besi, jadi awda tidak boleh memasaknya dalam periuk aluminium,” katanya. – ANN/Vietnam News

