Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makanan laut dalam tin, sajian istimewa makin popular di AS

    SAN FRANCISCO – Sardin masak lemon, ikan tenggiri masak kari, sotong bakar dalam kuah hitam. Semua ini adalah hidangan istimewa yang telah lama popular di Eropah dan kini mula mendapat tempat dalam menu di Amerika Syarikat (AS).

    Industri makanan laut dalam tin negara ini telah bergerak jauh melangkaui sandwic tuna, satu trend era pandemik yang bermula apabila rakyat AS yang terkurung di rumah menuntut lebih banyak makanan ruji dalam almari dapur mereka.

    Sejak itu, pasaran di AS telah berkembang, didorong oleh pengaruh media sosial yang mempromosikan faedah makanan berprotein tinggi dalam bekas tin berwarna terang.

    Di saluran TikTok Tinned – Fishionado, Kris Wilson, menyiarkan resipi untuk hidangan segera, termasuk satu yang mencampurkan lebihan nasi dengan kicap, avokado, telur separuh masak dan satu tin kupang salai dari syarikat Denmark, Fangst.

    Ikan dalam tin, seperti yang dipanggil di Eropah, kini menjadi hidangan biasa dalam menu di bar dari San Francisco hingga ke Houston dan New York, di mana pelanggan mencedok ikan terus dari tin.

    Produk daripada Fishwife Tinned Seafood Co dilihat di Bay Center, Washington pada 13 Oktober 2023. – AP
    Salah seorang pekerja ketika menyusun produk ikan dalam tin. – AP
    Millstein bergambar di luar kilang pengetinan di Bay Center, Washington. – AP

    Malah terdapat kelab ikan dalam tin yang meniru kelab wain dengan menghantar pelbagai makanan laut yang dipek dalam pelbagai kombinasi rempah, minyak dan sos kepada ahli-ahlinya setiap bulan.

    Video mengenai ikan dalam tin, dari sesi merasa kepada petua menghilangkan bau ikan dalam tin, telah menjana lebih 30 juta tontonan di TikTok.

    Jualan industri makanan laut dalam tin di AS telah meningkat daripada AS$2.3 bilion pada 2018 kepada lebih AS$2.7 bilion setakat tahun 2023, menurut syarikat penyelidikan pasaran, Circana.

    Becca Millstein telah memulakan perniagaan ikan dalam tin yang berpangkalan di Los Angeles pada tahun 2020 setelah memakan lebih banyak produk tersebut semasa perintah berkurung akibat koronavirus.

    “Apabila kami dikuarantin di rumah, menyediakan 100 peratus makanan kami setiap hari, adalah amat memakan masa untuk mencipta hidangan yang mengenyangkan,” katanya.

    “Saya baru sahaja mendapati diri saya makan begitu banyak ikan dalam tin, dan pada masa yang sama, pilihan yang saya temui semasa berjalan-jalan di lorong kedai runcit tempatan saya tidak begitu bagus.”

    Millstein tinggal di Sepanyol semasa di kolej dan menghabiskan masa di Portugal, kedua-dua negara di mana ikan dalam tin telah lama menjadi sebahagian daripada diet penduduk negara itu, jadi dia tahu terdapat pilihan yang lebih baik.

    “Saya makan ikan dalam tin yang sama yang dimakan oleh nenek moyang saya, Rose, di Brooklyn pada tahun 1930an,” katanya. “Saya rasa ia tidak masuk akal.”

    Syarikatnya, Fishwife Tinned Seafood Co, berusaha untuk menawarkan makanan laut berkualiti tinggi yang diperoleh secara mampan.

    Millstein berkata dia mencari kilang pengetinan di Sepanyol dan Portugal serta menghubungi nelayan di sepanjang Pantai Barat yang menghubungkannya dengan kilang pengetinan di Oregon dan Washington.

    “Misi kami adalah untuk menggalakkan industri ikan dalam tin dan mengubahnya menjadi apa yang kami fikirkan,” kata Millstein, sambil menambah ia bermakna menawarkan lebih banyak ‘daripada sekadar sandwic ikan tuna’.

    Dengan harga dari AS$7.99 hingga AS$10.99 setiap tin, produk Fishwife dianggap sebagai hidangan istimewa yang boleh disajikan di atas semangkuk nasi, di atas dulang daging masak sejuk atau dalam salad, kata Millstein.

    Dia menambah bahawa jualan syarikatnya meningkat sebanyak 250 peratus dari 2021 hingga 2022, dan dijangka melonjak kira-kira 150 peratus pada 2023.

    Untuk tujuan itu, produk Fishwife termasuk salmon salai yang diawet dalam garam, garam bawang putih dan gula perang kemudian dibungkus dengan tangan ke dalam tin dengan cili Sichuan rangup yang dihasilkan di bandar Chengdu, China. Ikan pusunya dari Laut Cantabrian dicampur bersama minyak zaitun asli premium Sepanyol, yang diperoleh terus daripada petani di utara Sepanyol.

    Tuna albacore salai milik syarikat itu ditangkap di Barat Laut Pasifik, dengan menggunakan satu joran pada satu masa bagi meminimumkan kemudaratan kepada spesies laut seperti penyu laut, jerung, pari, ikan lumba-lumba dan burung laut yang boleh ditangkap secara tidak sengaja semasa operasi penangkapan ikan komersial.

    “Ini adalah produk yang awda ingin sajikan kepada orang yang datang untuk makan malam,” kata Millstein. “Ia bukan sekadar sesuatu yang mungkin awda ingin proses dengan cepat dan makan untuk mendapatkan protein murah yang cepat.”

    Pengasas bersama kedai wain dan bar DECANTsf di San Francisco, Simi Grewal berkata perniagaannya beralih kepada ikan dalam tin untuk memberi makan kepada pelanggan sebahagiannya kerana ia tidak mempunyai dapur yang sesuai untuk memasak.

    “Ia sangat versatil,” katanya.

    Ikan dalam tin di kedai itu berharga dari AS$8 untuk garfish Ati Manel, ikan seperti jarum yang ditawarkan dalam minyak zaitun dari Portugal, hingga AS$36 untuk ‘Kaviar Landak Laut’ Conservas de Cambados dari muara Galicia di Sepanyol.

    “Orang ramai membuat banyak andaian tentang ikan dalam tin sebagai produk murah.

    Apabila awda datang ke sini, ia adalah program yang tersusun dengan amat teliti,” katanya. “Saya menghabiskan berjam-jam setiap bulan menyelidiki orang berkenaan dan cuba mencari apakah item terbaharu yang mereka ada.”

    Maria Finn, seorang penulis dan cef di Bay Area, berkata ikan dalam tin telah menarik pelbagai golongan daripada penggemar makanan yang mencari rasa terbaharu kepada mereka yang sekadar ingin makan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

    Dia membawa kupang dari Patagonia Provisions dalam pemburuan cendawan tahunan bagi sajian tengah hari yang cepat dan menyimpan tin sardin Wild Planet dalam begnya sekiranya kebakaran hutan mengancam rumahnya. “Saya fikir jika ada apa-apa yang boleh membuat awda hidup untuk jangka masa yang lama, ia adalah tin sardin dalam minyak zaitun,” dia berseloroh.

    Ikan dalam tin boleh bertahan sehingga lima tahun dan tidak memerlukan penyejukan, menawarkan alternatif mesra alam kepada daging, yang merupakan sumber gas rumah hijau terbesar dalam sektor pertanian dan mempunyai jejak karbon yang lebih besar daripada mana-mana sumber protein lain.

    Cara manusia menghasilkan dan mengambil makanan menyumbang hampir 30 peratus kepada pelepasan gas rumah hijau, menurut saintis. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda