Sarapan pagi adalah penting untuk membantu membekalkan tenaga untuk tubuh badan anda.
Hidangan sarapan pagi haruslah seimbang dan berkhasiat. Sesibuk mana pun anda, pastikan anda mengambil sarapan yang berkhasiat.
Jom kita ikuti, 10 makanan sihat yang sesuai untuk sarapan pagi.
Nasi
Nasi mengandungi karbohidrat dan juga gula. Kedua-dua khasiat ini sangat penting bagi metabolisme tubuh untuk menghasilkan tenaga.

Oatmeal
Oatmeal ini memang tawar namun oatmeal ini mengandungi banyak serat, kalsium dan zat besi yang penting untuk tubuh.
Jikalau anda tidak gemarkan rasa tawarnya, anda boleh tambahkan susu dan buah-buahan segar untuk menambahkan rasa dan juga menambahkan khasiatnya.
Makanan yang berasaskan dari gandum ini boleh membantu mencegah penyakit jantung, mengurangkan kadar kolesterol dan membantu dalam mengurangkan berat badan.
Roti Gandum
Kandungan serat dan karbohidrat dalam roti gandum lebih tingi dibandingkan dengan roti putih yang biasa anda makan. Jadi tukarkan roti putih anda kepada roti gandum sewaktu sarapan.
Yogurt
Pastinya ramai yang sukakan yogurt. Di sebalik rasa masamnya, yogurt mengandungi protein dan kalsium yang diperlukan tubuh. Amalkan yogurt sewaktu sarapan mampu membuatkan anda rasa kenyang dengan lebih lama dan sekali gus membantu untuk mengurangkan berat badan anda.
Telur
Telur mengandungi protein, asid lemak dan omega 3 yang baik untuk tubuh anda. Beberapa biji telur rebus dan goreng boleh buatkan anda rasa kenyang sehingga ke tengah hari.
Bijirin
Jika anda terlalu sibuk untuk menyiapkan sarapan yang sempurna pada waktu pagi, cukuplah sekadar dengan memakan bijirin. Sarapan ini mungkin nampak ringkas namun bijirin mengandungi zat besi, serat dan kalsium.
Susu
Susu merupakan minuman penting sewaktu sarapan pagi. Minum segelas susu sekiranya anda tidak sempat untuk bersarapan penuh. Susu mengandungi kalsium dan protein yang diperlukan tubuh untuk melalui hari yang mencabar.
Mentega Kacang
Kombinasi roti dan mentega kacang pasti menjadi kegemaran tatkala sarapan. Kacang mengandungi lemak yang diperlukan tubuh badan.
Jus Buah
Jus perahan buah mengandungi banyak vitamin yang diperlukan untuk tubuh. Jus yang benar-benar berkhasiat ialah jus yang tidak dicampurkan dengan mana-mana bahan lain seperti gula, susu atau madu. Perah sebiji buah oren untuk mendapatkan jus segarnya dan tambahkannya dalam menu sarapan pagi anda.
Buah-buahan
Buah-buahan adalah sumber makanan sampingan yang baik untuk tubuh. Buah-buahan mengandungi serat dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh anda. Buah-buahan yang sesuai untuk sarapan pagi anda ialah kiwi, pisang, epal, dan betik.
Buah-buahan ini baik untuk sistem penghadaman anda. Buah-buahan juga mengandungi antioksidan yang boleh menghalang sel-sel kanser dalam badan.
Roti bakar telur goreng
Bahan-bahan
-2 hingga 4 keping roti
-2 hingga 4 biji telur
-Mentega secukupnya
-Kaya secukupnya
-Garam dan lada sulah secukup rasa
-Minyak masak secukupnya
Cara memasak
1 – Bakar roti hingga perang.
2 – Sapu mentega dan kaya secukupnya di atas roti dan ketepikan.
3 – Panaskan sedikit minyak. di dalam kuali. Goreng telur mata kerbau setengah masak (kuning telur masih cair sedikit).
4 – Letakkan telur di atas roti bakar dan teburkan sedikit garam dan lada sulah. Kemudian hidangkan.
Sandwic ayam dan salad
Bahan-bahan
-400 gram ayam (bahagian dada)
-4 hingga 5 sudu makan mayones
-Daun salad secukupnya
-Baguette Perancis secukupnya
-Mentega secukupnya
-Garam, lada sulah dan lada hitam secukup rasa
Cara memasak
1 – Ayam dilumur dengan sedikit garam, lada sulah dan lada hitam lalu dipanggang hingga masak dan cincang sehingga halus.
2 – Campurkan mayones ke dalam mangkuk berisi cincangan ayam dan gaul rata.
3 – Tambahkan lada sulah/lada hitam dan gaul sebati. Ketepikan.
4 – Sapu sedikit mentega di atas roti.
5 – Letakkan sekeping daun salad ke atas roti.
6 – Letakkan sesudu campuran ayam dan ratakan di atas roti.
7 – Ambil sekeping lagi roti yang disapu mentega dan tutup seperti sandwic.
8 – Sedia untuk dihidangkan.
9 – Pilihan roti tergantung kepada anda.